Pada posting kali ini bukanlah niat saya untuk mengecam, apatah lagi memburuk-burukkan usaha memartabatkan Kota Bharu sebagai 'Bandaraya Islam'. Namun apa yang terbayang di fikiran kita ialah tentang aplikasinya terhadap slogan yang diguna pakai. Perkataan 'Bandaraya Islam' dengan sendirinya mebawa kepada ciri-ciri keislaman. Apakah kita tidak membuat pembohongan sekiranya aplikasi terhadap bandaraya tersebut menyimpang dari ajaran agama suci ini? Apakah kita tidak berdosa sekiranya kita meletakkan perkataan 'Islam' tetapi pada hakikatnya terlalu kontra pada amalannya?
Sepanjang pemerhatian saya, tidak ada apa-apa perbezaannya antara bandar biasa dengan 'bandaraya Islam' yang dicetuskan oleh kerajaan PAS di Kelantan. Kota Bharu bukanlah sebuah bandar yang benar-benar bersih. Jika kita menyelinap di lorong-lorong di sekitar bandar Kota Bharu, jelas sekali sampah sarap yang terbiar begitu sahaja, sedangkan 'Bandaraya Islam' telah diistiharkan sejak 1 oktober 2005 lagi. Kekotoran bandar Kota Bharu telah diakui oleh YAB TGNA sendiri. Sebagai Menteri Besar, beliau telah beberapa kali melahirkan kekecewaan terhadap tahap kebersihan bandar ini. Jadi, apa maknanya 'Bandaraya Islam'? Kalau di Melaka, negeri Melaka diistiharkan sebagai 'bandaraya bersejarah' ianya sememangnya menepati kerana banyak sekali khazanah sejarah yang terdapat di sana. Kota Bharu...kat mana Islamnya?
Saya ingin mengemukakan satu contoh kecil, berpandukan gambar-gambar di bawah. Gambar ini saya ambil di musallah KB Mall Kota Bharu awal bulan lalu. Ruang solat di pusat membeli-belah ini terlalu kotor, terbiar dan tidak begitu terjaga. Air memenuhi ruang solat seseolah dikatakan 'asal ada'. Apa yang paling menyedihkan ialah percampuran lelaki dan perempuan, di mana perempuan terpaksa melintasi kawasan tempat wudhu' lelaki untuk ke ruang solat wanita. Benar, ini adalah tempat solat persendirian, namun apakah tidak boleh dibuat penguatkuasaan oleh kerajaan, misalnya melalui MPKB selaras dengan apa yang dikatakan sebagai 'Bandaraya Islam'?