Tuesday, December 8, 2009

Rasuah : Pembasmiannya Harus Bermula Dengan Diri Kita

Atas sebab-sebab tertentu, hari ini saya berada di rumah lebih awal dari kebiasaannya. Di pejabat tadi, saya menyemak borang tuntutan perjalanan yang dihantar untuk saya tanda tangani.Saya sangat mengenali staf-staf di bawah saya, malah mengetahui di mana tempat tinggalnya. Mereka juga tahu yang saya mengetahuinya.Namun dalam soal tuntutan perjalanan yang dibuat, seseolah saya sedikitpun tidak mengetahui jarak perjalanan dari rumah mereka ke pejabat.Apa pun tidak semua staf begitu...

Apa yang mendorong saya menulis, kerana terdapat seorang staf saya yang selama ini kononnya kuat berjuang membasmi rasuah, rupa-rupanya dia lah paling banyak 'menipu kilometer'. Bukan sikit-sikit! Dia adalah 'tokoh perjuangan' yang kuat membidas dan mencanangkan tentang 'rasuah dalam UMNO'. Kononnya dia tahu belaka...Padanya, UMNO adalah 'parti paling kotor atas dunia kerana mengamalkan rasuah' Setahu saya, beliau sebenarnya orang belajar ilmu agama...Hampir setiap minggu beliau memberi perkhidmatan pengangkutan membawa orang-orang kampungnya ke tempat kuliah Tok Guru. Saya sokong itu...bagus.

Namun, dalam menganggap diri kita bagus, membenci perkara-perkara yang rasuah, janganlah pula kita terlupa mengitung diri sendiri.Kita sememangnya mudah untuk menyuruh orang berbuat baik, namun terlalu sukar untuk mengarahkan diri kita supaya berbuat baik juga. Sama seperti ada orang yang menyuruh Tun Mahathir meletakkan jawatan dulu atas alasan sudah lama dan sudah berusia...Tapi bila tiba masanya untuk dia diminta turun atas alasan sama,dia menolaknya secara mutlak. Demikian jugalah amalan rasuah, jangan kita hanya menilai dan menuduh orang lain, lihatlah pada diri sendiri... Dosa dan pahala tidak terletak pada parti apa yang dia sokong..tapi pada hati dan amalannya...